Mengamalkan perspektif jangka panjang, pertimbangkan kitaran pasaran terkini



​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-229 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-115 bagi Suku Pertama Tahun 2026, hari ini.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.


Pada permulaan mesyuarat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.


Baginda telah mengiktiraf prestasi kukuh serta kemajuan yang dicapai pada tahun 2025, khususnya dalam memastikan kecekapan operasi, kedudukan kewangan yang berdaya tahan, serta komitmen terhadap keselamatan.


Sehubungan itu, baginda dalam titah, juga menekankan kepentingan untuk mengekalkan prestasi ini sepanjang tahun 2026, khususnya mengambil kira landskap tenaga global pada masa kini dibelenggu ketidaktentuan geopolitik dan harga minyak yang tidak stabil.


Baginda turut menegaskan bahawa tekanan luar ini memerlukan kewaspadaan, ketahanan dan pertimbangan yang berhemah di semua peringkat organisasi. Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang bagi Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menegaskan keperluan untuk mengamalkan perspektif jangka panjang, termasuk mempertimbangkan kitaran pasaran terkini dan pergerakan jangka pendek.


Terdahulu, mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.


Kebawah DYMM seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-418 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-196 bagi Suku Pertama Tahun 2026 pada Khamis, 23 April 2026.













Close